Pendidikan Jasmani merupakan satu subjek yang dapat menggalakkan para murid di sekolah untuk memupuk tabiat bersenam di dalam dan di luar sekolah. Persoalannya, adakah bersenam penting untuk kita? Apa sebenarnya kepentingan bersenam?
1. Mengelakkan diri daripada mendapat penyakit obesiti. Memang tidak boleh dinafikan bahawa bersenam akan membantu kita untuk menjauhkan diri daripada mendapat penyakit obesiti. Berdasarkan suatu berita yang dilaporkan pada Februari 03, 2016, separuh rakyat Malaysia mengalami penyakit obesiti. Seperti yang kita sedia tahu, obesiti merupakan suatu penyakit yang membahayakan dan akan mendatangkan pelbagai jenis penyakit sampingan seperti sakit jantung, kencing manis, strok dan sebagainya. Oleh itu, kita harus sentiasa menjaga kesihatan kita dengan cara bersenam dan memakan makanan yang seimbang dari segi zat makanan. Sumber:- (http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/separuh-rakyat-malaysia-obesiti-menteri-runsing) 2. Mengurangkan tahap stres. Semua manusia akan menghadapi stres, tidak kira kanak-kanak, remaja, orang dewasa ataupun orang tua. Contohnya, kanak-kanak akan mengalami stres apabila menjelang peperiksaan, terutamanya apabila ibu bapa merupakan ibu bapa yang tegas terhadap akademik. Guru sering menghadapi stres apabila pencapaian murid tidak meningkat, murid menghadapi masalah disiplin dan sebagainya. Apabila kita bersenam, badan kita akan mengeluarkan hormon endorfin. Hormon endorfin merupakan sejenis hormon yang membantu kita tidur dengan lebih lena dan juga mengurangkan stres. Pada pendapat saya, pendidik-pendidik bolehlah bersenam sekurang-kurangnya 20 minit sehari untuk mengurangkan tahap stres masing-masing, terutamanya pada musim peperiksaan. 3. Meningkatkan kekuatan dan daya tahan. Pada pendapat saya, guru harus mempunyai kekuatan dan gaya tahan yang tinggi. Hal ini kerana guru bukan sahaja bertindak sebagai seorang pendidik ataupun seorang pengajar di sekolah. Apabila seseorang murid berada dalam kawasan sekolah, guru bertanggungjawab untuk menjaga murid tersebut dan menjamin keselematan murid tersebut. Sekiranya terdapat apa-apa kemalangan yang berlaku pada seseorang murid, guru harus melakukan apa-apa saja untuk membantu murid tersebut. Contohnya, seorang murid terjatuh dan terseliuh kakinya. Guru harus mengangkat murid tersebut dan membawanya ke pejabat ataupun klinik terdekat. Sekiranya guru tersebut tidak mempunyai kekuatan untuk mengangkat murid tersebut, guru tersebut akan secara tidak langsung, menangguh masa rawatan murid tersebut. Sebagai natijahnya, bersenam akan membantu kita mempunyai kekuatan serta daya tahan yang tinggi. Bersenam merupakan suatu aktiviti rekreasi yang amat berguna dan amat bagus untuk seseorang manusia. Setiap kanak-kanak di sekolah harus sentiasa digalakkan untuk membuat senaman sekurang-kurangnya 30 minit sehari supaya badan mereka sentiasa sihat. |