Perang Pendaraban (Multiplication War)Arahan:- 1. Dua murid duduk berhadapan satu sama lain. 2. Kedua-dua murid diberi dua set kad (kuning dan merah jambu) 3. Murid akan mendarabkan nombor pada kad kuning dengan nombor pada kad merah jambu. Selepas mendarab, murid akan menepikan kad tersebut dan mendarabkan nombor pada kad yang seterusnya. 4. Guru akan menetapkan had masa. 5. Dalam had masa yang ditetapkan, kedua-dua murid harus mendarabkan sebanyak nombor yang mereka dapat. 6. Murid yang dapat membuat pendaraban secara cepat dan betul akan menang. Pendaraban Dalam Kotak TelurArahan:- 1. Guru dikehendaki menyediakan kotak telur seperti yang ditunjuk di atas, beserta dengan nombor 1-12 yang ditulis pada setiap lubang. 2. Dua biji guli akan diletak dalam kotak telur tersebut. 3. Murid akan tutupkan kotak telur dan kemudian menggoyangkan guli di dalam kotak telur. 4. Murid akan mendarabkan dua nombor yang mengandungi guli. 5. Murid yang dapat memberikan jawapan betul yang paling banyak akan menang. Diharapkan kedua-dua permainan ini membantu para guru dalam mereka permainan untuk aktiviti pengayaan!
0 Comments
Penilaian merupakan salah satu elemen yang amat penting dalam suatu proses pembelajaran dan pengajaran (PdP). Penilaian akan membantu seseorang guru untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan setiap murid yang diajar dalam bilik darjah. Oleh itu, saya ingin berkongsi beberapa jenis penilaian yang pada pendapat saya, dapat membantu warga guru Matematik untuk mengenal pasti kelemahan dan kekuatan para murid. 1. Ujian Diagnostik (untuk membantu murid yang lemah)
Ujian diagnostik membantu guru dalam mengenal pasti kelemahan murid dan juga setakat mana yang mereka faham tentang topik yang telah diajar. Sering kali, kita menghadapi murid yang menghadapi masalah memahami topik yang baru. Kebiasaannya, ini adalah kerana mereka tidak dapat menguasai topik yang telah diajar sebelumnya, ataupun beberapa topik sebelum topik yang diajar tersebut. Ujian diagnostik akan membantu guru untuk mengesan sejauh manakah murid tersebut memahami tentang kesemua topik yang telah diajar. Ujian diagnostik akan membantu guru untuk mereka pembelajaran yang seterusnya untuk membantu murid-murid yang lebih lemah. 2. Ujian Formatif (Penilaian dari masa ke masa) Ujian Formatif merupakan penilian yang berlaku pada masa ke masa. Ujian formatif boleh dijalankan tanpa pengetahuan murid. Contohnya, setelah mengajar suatu sesi PdP, guru menujukan soalan kepada para murid untuk menguji sama ada murid-murid faham dengan apa yang dipelajari ataupun tidak. Latihan yang diberikan oleh guru kepada para murid semasa proses PdP dijalankan juga merupakan salah satu ujian formatif yang berguna, terutamanya untuk subjek Matematik. Hal ini kerana kita dapat melihat hasil kerja murid dengan teliti. Contohnya, bentuk lazim yang dibuat oleh murid. Jika nombor 'sa' tidak ditulis di tempat 'sa', ini bermaksud murid belum mahir dengan membuat bentuk lazim lagi. 3. Ujian Sumatif (Penilaian yang formal) Ujian sumatif merupakan penilaian yang lebih formal dan digunakan untuk mengenal pasti tahap pencapaian para murid, berdasarkah piawai yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Ujian sumatif dapat membantu guru menguji murid-murid dengan beberapa topik dalam masa yang sama untuk mengenal pasti sama ada para murid memahami segala topik yang diajar ataupun tidak. 4. Ujian Rujukan Norma Ujian rujukan norma merupakan ujian yang menguji murid berdasarkan kebolehan masing-masing. Ujian ini akan membantu guru untuk memotivasikan murid untuk memajukan diri. Ujian ini merupakan penilaian yang amat berguna untuk guru kerana ia akan membantu guru untuk mengetahui pencapaian setiap murid secara individu. Namun begitu, untuk melihat pencapaian murid, guru akan dikehendaki untuk membuat catatan yang berbeza untuk setiap murid. Permainan Lompat-Lompat Pecahan Surat KhabarAlat yang perlu disediakan:- - Surat Khabar (satu kumpulan, satu helai surat khabar) - Pen marker (Surat khabar ditulis dengan pecahan oleh guru terlebih dahulu) - Kotak misteri yang mengandungi 4 kertas, ditulis dengan 1, 1/2, 1/4 dan 1/8. Cara memainkan Permainan Tarian Pecahan Surat Khabar:- 1. Guru membahagikan kelas kepada beberapa kumpulan (3-4 orang dalam satu kumpulan). 2. Guru mengagihkan surat khabar kepada setiap kumpulan. 3. Semua murid dikehendaki berdiri di luar surat khabar. 4. Guru mencabut kertas dari kotak misteri. 5. Guru membacakan apa yang dicabut. 6. Murid dikehendaki untuk melipatkan surat khabar berdasarkan apa yang disebut oleh guru. 7. Kumpulan yang paling laju berdiri dalam surat khabar akan mendapat 1 markah. 8. Kumpulan yang mengumpul markah yang paling sikit akan didenda. Murid-murid sering menghadapi masalah dalam memahami pecahan. Diharapkan agar permainan ini dapat membantu warga guru matematik untuk menyeronokkan suasana dalam bilik darjah semasa mengajar topik pecahan!
Kita sering mendengar murid merungut apabila mendengar perkataan "Matematik". Kebanyakkan murid-murid di sekolah tidak menggemari subjek Matematik. Alasan yang sering diberi oleh murid-murid adalah Matematik merupakan satu subjek yang amat susah. Sebagai seorang guru Matematik, kita harus sentiasa memikirkan cara untuk membuatkan murid-murid tertarik dengan subjek ini. Berikut merupakan tips-tips yang saya boleh kongsikan untuk memberi bantuan dalam masalah ini. 1. Memberi cabaran kepada murid yang senang tercabar. Memang tidak boleh dinafikan bahawa dalam sebuah bilik darjah, setiap murid mempunyai personaliti yang tersendiri. Apabila menghadapi murid yang senang tercabar, sebagai seorang guru, kita boleh mempergunakan personaliti murid tersebut tersendiri untuk membantu murid tersebut untuk melahirkan perasaan 'suka terhadap subjek Matematik'. Apabila kita mempunyai murid yang sebegitu dalam kelas, kita bolehlah menujukan soalan yang mencabarkan dan menarik untuk murid supaya murid memberi perhatian dalam kelas dan memupuk perasaan 'suka terhadap subjek Matematik'. Guru bolehlah membimbing murid secara tidak langsung supaya murid merasa dia dapat menjawab soalan atas usaha sendiri. 2. Menggunakan pendekatan kontekstual. Pendekatan kontekstual bermakna mengajarkan isi pembelajaran dengan cara mengaitkan dengan kehidupan seharian. Pada pendapat saya, ini akan membantu murid untuk melahirkan perasaan tertarik dengan subjek Matematik. Hal ini kerana murid-murid akan dapat mengaitkan apa yang dipelajari dalam bilik darjah dengan apa yang murid-murid sering lakukan di luar sekolah. Ini juga akan membantu mereka untuk mengingat apa yang dipelajari. 3. Penggunaan rekreasi Matematik Bermain adalah sebahagian daripada hidup kanak-kanak. Ia juga merupakan satu elemen yang amat penting dalam proses perkembangan kanak-kanak. Oleh itu, penerapan permainan dalam proses PdP untuk subjek Matematik merupakan satu cara yang amat berkesan dan berguna untuk membantu murid memupuk semangat suka kepada subjek ini. Apabila murid bermain, mereka akan berasa gembira dan ini akan membuatkan murid-murid untuk suka kepada subjek Matematik kerana mereka berasa subjek ini bukan subjek yang membosankan. 4. Pelbagaikan pendekatan pengajaran. Seperti yang kita sedia tahu, setiap bilik darjah mempunyai murid-murid yang pelbagai. Ini juga bermaksud dalam bilik darjah tersebut mempunyai pelbagai personaliti yang guru wajib tangani. Guru tersebut mungkin bukan mengajar satu kelas sahaja. Oleh itu, apabila guru mengajar subjek ini, guru tersebut harus sentiasa merekakan pendekatan yang sesuai dengan kelas-kelas tertentu. Contohnya, guru menggunakan lagu matematik untuk mengajarkan topik nombor bulat dalam kelas 1A tetapi apabila menghadapi kelas 1B yang suka berlakon, guru tersebut menggunakan lakonan untuk mengajarkan topik nombor bulat. Kesimpulannya, topik yang sama boleh diajar menggunakan cara yang pelbagai. 5. Pembelajaran di luar bilik darjah. Kebanyakkan masa murid berada di sekolah adalah di dalam bilik darjah masing-masing dan di tempat masing-masing. Oleh itu, murid-murid akan teruja dan berasa gembira apabila mereka dibawa ke luar bilik darjah untuk menjalankan pembelajaran mereka. Guru Matematik juga boleh menggunakan cara ini untuk membantu murid-murid untuk melahirkan perasaan suka terhadap subjek Matematik. Contohnya, apabila mengajar topik penambahan untuk murid Tahap 1, guru bolehlah menjalankan aktiviti mencari ranting kayu ataupun daun kering. Kelas akan dibahagi kepada beberapa kumpulan, terpulang kepada bilangan murid dalam kelas tersebut. Setiap kumpulan akan mencabut kertas nombor dan mereka akan dikehendaki untuk mencari bilangan ranting kayu dan daun kering yang dinyatakan pada kertas yang dicabut. Kemudian, mereka akan diminta untuk menambahkan kesemua hasil kutipan mereka. Sebagai natijah, guru Matematik mempunyai tanggungjawab untuk melahirkan semangat suka terhadap Matematik di kalangan murid-murid. Diharapkan tips-tips yang dikongsikan dapat membantu semua warga guru! |
PenulisJantina : Perempuan ArchivesCategories |