10 Februari 2017 (Jumat), Dewan Sehati Sejiwa, SK Muton INTIPATI PROGRAM PROGRAM 'Jom Ke Sekolah" yang direncanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM) dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia(PDRM) melalui Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti(JPJKK) bertujuan untuk menangani masalah disiplin pelajar dan salahlaku jenayah bermula diperingkat akar umbi. Pelaksanaan program peringkat sekolah itu merupakan langkah yang diambil berikutan kesinambungan pelancaran program Jom Ke Sekolah tahun 2017 peringkat Kebangsaan yang telah dilancarkan pada 5 dan 6 Februari yang lalu. Dalam pelancaran Program Jom Ke Sekolah peringkat SK Muton yang telah dijalankan pada 10 Februari 2017 yang lalu, turut melibatkan kehadiran ibu bapa murid seramai 78 orang dan semua murid dari kelas Prasekolah hingga Tahun 6 di sekolah berkenaan. Kehadiran dua Pegawai Polis dari Ibupejabat Polis Daerah(IPD) Betong yang juga Pegawai Perhubungan Sekolah(PPS) SK Muton iaitu Koperal Jason anak Keyu dan Lans Koperal Muhammad Haffiz bin Abdul Ghafar yang bersama merasmikan pelancaran program yang dirancang. Majlis turut dihadiri semua guru, kakitangan sekolah dan diserikan kehadiran Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru(PIBG), Remi anak Ambau yang turut terlibat melakukan simbolik pelancaran yang mewakili ibu bapa memasukkan aduan kedalam Peti Aduan Murid. Guru Besar SK Muton, Fadreen Jingan anak Beriak yang turut membacakan perutusan Menteri Pendidikan Malaysia turut menegaskan bahawa perencanaan yang difahami dengan berkesan adalah langkah permulaan terbaik bagi melengkapkan disiplin murid dan melunaskan sekolah sebagai agen sosialisasi. Program yang dilaksanakan di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan(NBOS) KPM bersama-sama PDRM adalah usaha murni serta langkah mendekatkan pelajar kearah nilai positif yang berkesan dalam menimba ilmu dan mencegah salah laku disiplin murid daripada terlibat dalam kegiatan jenayah dan perlakuan yang menyalahi undang-undang serta tidak bermoral sama ada di dalam atau di luar sekolah. Selain itu program ini dilaksanakan untuk membugarkan kembali penggunaan Peti Aduan Disiplin Murid disekolah. Dalam masa yang sama Sistem Pendidikan Negara telah mengalami evolusi penting seiring dengan Gelombang ke-2 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dengan tekad dan azam untuk terus berusaha melonjakkan kualiti pendidikan Negara seperti yang dihasratkan. Sesungguhnya transformasi pendidikan merupakan proses yang memerlukan komitmen yang tinggi secara berterusan daripada semua pihak, ini menuntut semua pihak untuk bekerjasama membenteras masalah disiplin hingga keperingkat akar umbi supaya dapat memenuhi evolusi yang dilaksanakan. Justeru itu, Program Jom Ke Sekolah adalah satu usaha ke arah meningkatkan kecemerlangan kurikulum dan kokurikulum sekolah serta pembinaan sahsiah murid yang mantap serta pengurusan disiplin di sekolah yang memerlukan komitmen semua pihak agar kemenjadian murid lebih cemerlang. Dengan pelaksanaan program ini, diharapkan warga sekolah dapat memberikan saluran yang sesuai untuk menerima aduan dan menyelesaikan masalah yang berkaitan disiplin murid. Selain menjaga keamanan persekitaran, kita dapat mewujudkan hubungan mesra dan kolaborasi yang lebih mantap antara pihak sekolah dengan PPS. Murid-murid juga diingatkan agar menjauhi perkara yang tidak berfaedah dan jangan terpengaruh dengan gejala yang tidak sihat dan tidak bermoral seperti ponteng, buli, dadah serta lain-lain gejala negatifyang boleh merosakkan diri dan masa depan. Sementara itu, PPS, Lans Koperal Haffiz Abdul Ghafar turut membacakan perutusan Ketua Polis Negara yang menuntut komitmen yang jitu dalam memberi kerjasama dengan piihak sekolah bagi menangani masalah salahlaku disiplin murid. Dalam membentuk mekanisme yang boleh mendorong dan merangsang masyarakat sekolah untuk turut sama memainkan peranan dalam mencegah salah laku disiplin murid, pihak PDRM sentiasa akur dengan prinsip keamanan dan akan sentiasa membantu dalam memberi kesedaran kepada masyarakat sekolah berkaitan peranan yang seharusnya dilakukan serta langkah-langkah pencegahan yang boleh diimplentasikan dalam usaha mengekang kes salahlaku disiplin murid dan menjayakan Program Jom Ke Sekolah. Selain itu, pemahaman dan pengetahuan masyarakat sekolah mengenai penggunaan Peti Aduan Disiplin Murid perlu diterapkan agar dapat mempertingkatkan lagi kecekapan bertindak pihak sekolah terhadap masalah disiplin murid yang berlaku. ULASAN Meskipun terdapat kekangan sebelum penganjuran berikutan masalah SK Muton, Debak tidak dibekalkan dengan PPS disebabkan kekeliruan persempadanan PDRM antara IPD Betong dan IPD Saratok, namun ianya dapat diselesaikan berkat kesungguhan pihak pentadbir sehingga berjaya menjalankan majlis pelancaran Program Jom Ke Sekolah peringkat SK Muton pada 10 Februari 2017 (Jumaat) dengan penyertaan yang amat menggalakkan daripada pihak sekolah, PDRM, murid dan ibubapa yang turut berpeluang dalam menjayakan program yang dirancang. Dengan adanya Peti Aduan Murid di peringkat sekolah diharap dapat menyelesaikan pelbagai masalah disiplin yang selama ini sukar diperhatikan berikutan tiada laporan daripada murid yang berkemungkinan takut akan tindakan rakan yang dikhuatiri bertindak ganas. Sehubungan dengan itu dapat membendung kes-kes disiplin dikalangan murid yang boleh menyebabkan mereka di gantung sekolah akibat daripada kegiatan dan gejala luar yang tidak berfaedah. Biarpun kita sedar, kes-kes disiplin di peringkat sekolah rendah tiada yang serius tetapi dengan pengawalan diperingkat awal, ianya dapat mendisiplinkan diri pelajar agar tidak melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat. Credit to Saleman Bin Senin
0 Comments
|